Pages

Click here for Forum

Wednesday, 4 May 2011

CIRI-CIRI WANITA SOLEHAH




















Usahlah rendah diri jika tidak mempunyai wajah dan tubuh yang cantik, kerana setiap orang berpeluang mencantikkan iman, hati dan akhlak. Dari Atha bin Abi Rabah, ia berkata padaku, “Mahukah aku tunjukkan seorang wanita penghuni syurga?” Aku menjawab, “ya”.
Dia berkata, “Wanita hitam itulah yang datang kepada Nabi s.a.w. lalu berkata, ‘Aku menderita penyakit epilepsi dan auratku tersingkap saat penyakitku mula menyerang. Doakanlah untukku agar Allah menyembuhkannya.”
Nabi s.a.w. berkata, ‘Jika engkau mahu, engkau bersabar dan bagimu syurga, dan jika engkau mahu, aku akan mendoakanmu agar Allah Menyembuhkanmu.’
Wanita itu menjawab, ‘Aku pilih bersabar.’ Lalu dia berkata lagi, ‘Tatkala penyakit ini menimpaku, auratku terbuka, doakanlah agar auratku tidak tersingkap.’ Maka Nabi pun mendoakannya.” (Riwayat Bukhari Muslim).
Betapa rindunnya hati ini kepada syurgaNya yang begitu indah. Yang luasnya lebih luas daripada langit dan bumi. Betapa besarnya harapan ini untuk menjadi salah seorang penghuni syurgaNya. Dan subhanallah! Ada seorang wanita yang berjaya meraih kedudukan mulia tersebut. Bahkan dia dipersaksikan sebagai salah seorang penghuni syurga di kala nafasnya masih boleh dihembuskan, jantungnya masih berdegup, dan kakinya masih menapak di permukaan bumi.
Sebagaimana yang dinyatakan oleh Ibnu Abbas kepada muridnya, Atha bin Abi Rabahm “Mahukah aku tunjukkan seorang wanita penghuni syurga?” aku menjawab “Ya”.
Ibnu Abbas berkata, “Wanita hitam itulah…”
Wahai para Muslimah, tidakkah engkau berasa iri hati dengan kedudukan mulia yang diraih oleh wanita itu? Dan tidakkah engkau ingin tahu, apakah amal ibadahnya yang membantu dia menjadi seorang wanita penghuni syurga? Adakah kerana dia seorang wanita yang cantik jelita dan berupa paras elok? Atau dia seorang yang berkulit putih dan cerah berseri? Tidak. Bahkan Ibnu Abbas menyebutnya sebagai wanita yang berkulit hitam.
Mungkin sesetengah masyarakat menganggapnya seorang wanita biasa. Namun, hakikatnya dia merupakan seorang wanita yang memiliki kedudukan mulia menurut pandangan Allah dan Rasul-Nya. Inilah bukti bahawa kecantikan fizikal bukanlah ukuran kemuliaan fizikal itu diperlihatkan kepada suaminya dan orang-orang yang halal baginya.
Keindahan Iman
Kecantikan iman yang terpancar dari hati yang benar-benar ikhlas akan membantu seseorang wanita itu meraih kedudukan yang mulia. Dengan ketakwaan, keimanan, keindahan akhlaknya, dan amalan solehnya, seorang wanita yang buruk rupa di mata manusia akan tampak cantik bak bidadari di syurga.
Bagaimana pula dengan keadaan wanita zaman sekarang yang sibuk berhias diri tetapi enggan memutihkan hatinya? Mereka begitu khuatir jika wajahnya tidak secantik dulu, berbanding iman dan hatinya yang kini ternoda dengan noda-noda hitam kemaksiatan – semoga Allah memberi mereka petunjuk.
Kecantikan fizikal bukanlah segalanya. Kecantikan luaran ini hanya akan memerangkap pemiliknya pada kemaksiatan dan dosa. Maka, usahlah berasa rendah diri jika anda tidak mempunyai wajah dan tubuh yang cantik. Syukurilah sebagai nikmat Allah yang sangat berharga ini. Cantikkanlah iman, hati dan akhlakmu itu.
Berbalik kepada kisah wanita penghuni syurga itu, wanita berkulit hitam itu sebenarnya menderita penyakit epilepsy. dia telah datang kepada Rasulullah s.a.w. dan meminta baginda berdoa kepada Allah agar menyembuhkan penyakitnya.
Seorang Muslim itu boleh berusaha untuk menyembuhkan penyakit yang dihadapi. Asalkan usahanya itu tidak melanggar syariat. Salah satu usaha yang boleh dilakukan adalah dengan berdoa. Sama ada berdoa sendiri ataupun meminta orang yang soleh mendoakannya.
Wanita itu berkata, “Aku menderita penyakit epilepsy dan auratku tersingkap saat penyakitku mula menyerang. Doakanlah untukku wahai Rasulullah agar Allah menyembuhkannya.”
Penyakit epilepsy bukanlah penyakit yang ringan. Lebih-lebih lagi jjika penyakit itu dideritai oleh seorang wanita. Betapa besar rasa malu yang terpaksa ditanggung oleh penderita. Bukan sahaja disisih oleh masyarakat bahkan ramai yang memandang jijik pada penyakit ini.
Namun, lihatlah perilaku wanita terpilih ini. Apakah dia berasa benci dengan takdir yang menimpanya? Apakah dia mengeluh dengan penderitaan yang dihidapinya? Tidak! sedikitpun dia tidak berasa menyesal sebaliknya berserah dan terus bersabar. Cuma apa yang diharapkan agar, auratnya tidak tersingkap saat penyakitnya mula menyerang.
Subhanallah. Dia adalah seorang wanita yang sangat khuatir jika auratnya tersingkap. Bahkan, wanita istimewa ini tahu kewajipan sebagai seorang wanita yang wajib menutup aurat, dan dia akan berusaha melaksanakannya meskipun dalam keadaan sakit. Inilah antara ciri-ciri wanita solehah, calon penghuni syurga. Iaitu mempunyai sifat malu dan sentiasa berusaha untuk menjaga kehormatannya dengan menutup aurat. Bagaimana pula dengan wanita zaman sekarang yang sewenang-wenangnya membuka dan menonjolkan aurat yang seharusnya ditutup?
Menerusi hadis di atas terdapat pula dalil atas keutamaan bersabar. Kesabaran merupakan salah satu faktor seseorang itu masuk ke dalam syurga.
Nabi s.a.w. berkata, “Jika engkau mahu, engkau bersabar dan bagimu syurga, dan jika engkau mahu, aku akan mendoakanmu agar Allah menyembuhkanmu.” dan wanita itu menjawab, “Aku pilih untuk bersabar.”
Wanita itu memilih untuk bersabar walaupun dirinya sedang menderita. Salah satu ciri wanita solehah yang ditonjolkan oleh wanita itu adalah bersabar menghadapi sebarang cubaan dan dugaan.
Sedarilah, kadang-kala hanya dengan amalan yang ada, seseorang hamba itu masih tidak mampu untuk mencapai kedudukan-kedudukan mulia di sisi Allah. Maka, allah SWT akan terus memberi cubaan dan dugaan kepada hambanya dengan suatu hal yang ditak disukainya. Kemudian Allah SWT memberi pula kesabaran kepadanya untuk menghadapi cubaan tersebut.
Semoga dengan kesabarannya itu, kita dapat mencapai kedudukan yang mulia di sisi-Nya.
Sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w, “Jika datang suatu kedudukan mulia dari Allah untuk seorang hamba yang mana dia belum mencapainya dengan amalanya, maka Allah akan memberinya musibah pada tubuhnya atau hartanya atau anaknya, lalu Allah akan menyabarknnya sehingga dia mencapai kedudukan mulia yang datang kepadanya.” (Riwayat Imam Ahmad. Dan Hadis ini terdapat dalam silsilah Al-Hadis Ash-shahihah 2599).
Maka, di saat dugaan menimpa, berusahalah untuk bersabar. Semoga, dengan kesabaran itu Allah SWT akan mengampuni dosa-dosa kita dan mengangkat kita ke kedudukan mulia di sisi-Nya

No comments:

Post a Comment